IPOH – Polis menahan tiga lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes tetak sehingga menyebabkan kematian seorang penganggur di premis kereta sewa di Buntong, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu diberkas dalam satu serbuan pada pukul 5.30 petang di Pasar Awam Buntong, semalam.
Katanya, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diberkas meningkat kepada empat orang susulan penahanan seorang lelaki pada pukul 1 petang, hari yang sama.
“Suspek pertama berusia 23 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam, manakala tiga lagi suspek direman selama dua hari selepas permohonan reman terhadap mereka dibuat hari ini.
“Penahanan reman terhadap kesemua suspek itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, dua rakan mangsa yang maut dalam insiden tersebut mengalami kecederaan parah dengan masing-masing dirawat di hospital kerajaan dan hospital swasta.
Katanya, kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih lemah.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham, namun pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud faktor lain.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca pergaduhan berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.10 malam semalam, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak menggunakan parang dalam insiden pergaduhan membabitkan beberapa individu. – KOSMO! ONLINE














