fbpx
Kehilangan penyanyi Azhar Osman dari industri muzik selepas 'berpisah' dengan bekas rakan duonya, Hael Husaini adalah disebabkan masalah 'stage fright' atau gugup.

‘Bukan merajuk, saya tak bergaduh dengan Hael Husaini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Bukan merajuk atau berseteru, kehilangan penyanyi Azhar Osman dari industri muzik selepas ‘berpisah’ dengan bekas rakan duonya, Hael Husaini adalah disebabkan masalah ‘stage fright’ atau gugup.

Azhar atau nama sebenarnya, Mohd. Azhar Osman, 38, berkata, selepas duo Azhael memilih jalan sendiri, dia memberi tumpuan terhadap pengajian di peringkat ijazah sebelum fokus kepada kerjaya di bidang perubatan.

“Saya bukan merajuk dengan industri seni atau bergaduh dengan Hael. Kami masih berhubung dan rapat sehingga sekarang.

“Cuma selepas Azhael berpisah, Hael memberi tumpuan kepada kerjaya seni, manakala saya pula menghabiskan pengajian ijazah sebelum berjinak-jinak dalam bidang perubatan.

“Saya pilih jalan ini kerana masih dihimpit perasaan gugup setiap kali muncul di pentas terutama ketika tampil solo,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Blossom Rally Pickleball 2026 di Tomaz Pickleball Club, baru-baru ini.

Menurut Azhar, Hael tidak pernah berhenti memujuknya untuk kembali aktif menyanyi, malah setiap tahun menawarkan pelbagai projek termasuk menghasilkan lagu serta mengajaknya berkolaborasi.

“Ramai yang tidak tahu, tetapi setiap tahun memang rakan saya itu tidak pernah jemu memujuk. Dia juga selalu beritahu mahu hasilkan lagu untuk saya. Perkara itu sudah berlarutan hampir empat tahun.

“Malah, kami pun pernah berbual mengenai projek khas iaitu sebuah lagu kolaborasi ‘Hael x Azhar’ untuk dimuatkan dalam albumnya,” ujarnya.

Mengenai masalah ‘stage fright’ melampau setiap kali membuat persembahan, katanya isu terbabit diketahui Hael sejak mereka bergandingan lebih sedekad lalu.

“Hael mengetahui tentang rahsia saya ini. Setiap kali hendak membuat persembahan, suara saya akan bergetar, jadi berpeluh-peluh tiba-tiba.

“Perkara itu sudah tentu mengganggu aspek teknikal nyanyian sehingga saya menjadi tertekan dan hilang keyakinan. Tetapi dia tetap menenangkan saya dengan mengajak saya berjoging untuk memanaskan badan sebelum naik ke pentas.

“Namun, perasaan gemuruh itu tetap ada dan itulah juga merupakan punca utama saya memilih untuk fokus dahulu kepada bidang lain buat sementara waktu,” katanya.

Walaupun tidak lagi aktif sebagai penyanyi, Azhar berkata, dia masih mengekalkan minat terhadap muzik apabila menganggotai kumpulan acapella Define dan Awesome Pella serta sesekali memuat naik lagu nyanyian semula dalam media sosial.

Pada masa sama, dia turut menegaskan tidak pernah iri hati terhadap kejayaan Hael, malah berbangga melihat rakan seperjuangannya terus mencipta nama dalam industri seni.

“Tidak timbul rasa tercabar. Sejujurnya saya bangga dengan pencapaiannya. Hael tahu kemampuan saya dan saya juga tahu kelebihan dimilikinya yang membuatkannya terus sukses.

“Insya-Allah, apa pun sebelum saya mencecah usia 40 tahun, mungkin saya akan penuhi permintaan Hael dengan menghasilkan sebuah lagu bersamanya,” kongsinya.

Gandingan Azhael mula dikenali selepas mereka menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013 sebelum menghasilkan beberapa lagu popular.

Empat tahun kemudian Hael mengesahkan duo itu berpecah memberi ruang kepada perkembangan kerjaya masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN