AMPANG JAYA – Seorang anggota tentera berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam kejadian di Pandan Indah, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) kira-kira pukul 1.30 tengah hari berhubung kejadian pergaduhan di sebuah apartmen di Jalan Pandan Indah 4/14B.
Menurutnya, sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki tempatan dalam keadaan cedera sebelum diserahkan kepada polis oleh orang awam.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis syabu seberat 1.39 gram.
“Suspek kemudian ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, keputusan ujian air kencing suspek adalah negatif dan suspek direman selama empat hari. – KOSMO! ONLINE














