fbpx
MOHAMMAD Yusoff memeriksa lesen memandu kenderaan perdagangan dalam Operasi Bersepadu Dadah di Stesen Penguatkuasa JPJ di Gerik hari ini.

Ketum, syabu antara dadah dikesan dalam kalangan pemandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Seramai 39 pemandu dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sejak 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu diperoleh hasil saringan ke atas 153 pemandu dengan majoriti pemandu yang didapati positif adalah membabitkan kenderaan barangan.

Katanya, daripada 39 pemandu yang positif dadah itu, 18 orang dikesan mengambil ketum diikuti 16 methamphetamine, tiga morfin dan dua ganja.

“Daripada 39 pemandu berkenaan, 38 orang adalah pemandu kenderaan barangan manakala seorang lagi merupakan pemandu kenderaan perkhidmatan awam. Dalam operasi sama, kita turut menahan 14 Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan 13 Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Tiada tindakan diambil terhadap Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV),” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu yang didapati positif dadah akan dikenakan tindakan termasuk penahanan lesen GDL dan PSV sehingga siasatan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selesai dan penggantungan lesen selama tiga bulan.

“Selain tindakan terhadap pemandu, JPJ Perak juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandunya mematuhi syarat pelesenan dan bebas daripada penyalahgunaan dadah. Audit ke atas syarikat berkaitan juga akan dilaksanakan sekiranya perlu bagi memastikan tahap pematuhan terhadap keperluan keselamatan dan pengurusan pemandu sentiasa dipatuhi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN