SHAH ALAM – Tiga pakar dilantik menyertai Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi mendepani kesan kepada rakyat akibat konflik Asia Barat.
Pasukan itu akan diketuai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Pengerusi selain Pengarah Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang menilai aspek utama bagi menyediakan langkah segera membantu rakyat dan industri sebagai respon kepada kesan Krisis Perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Jelas beliau, mesyuarat itu susulan sidang meja bulat melibatkan pakar ekonomi dan industri yang berkongsi pengalaman krisis lalu sebagai panduan.
“Krisis perang yang menutup Selat Hormuz memberi kesan antaranya bekalan bahan tenaga untuk pengangkutan baja, urea yang kritikal bagi penghasilan makanan serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital serta pembuatan semikonduktor.
“Kerajaan negeri akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 dengan memfokuskan kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat terkesan, sokongan industri serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas,” katanya hari ini.
Menurut Amirudin, pasukan khas ini akan mencadangkan langkah segera mengurangkan kesan kepada rakyat dan merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang berterusan.
Tambahnya, kerajaan negeri akan mengumumkan langkah yang perlu diambil sebagai respon kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang.
“Fasa pertama usaha mitigasi bagi rakyat Selangor akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














