fbpx
Ammar (gambar kecil) ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang hari ini.

Tiga sahabat maut nahas Karak, rakan sifatkan mangsa mudah didekati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK– “Kalau nak keluar makan atau berjalan, memang mereka akan ajak sama-sama. Kami macam satu keluarga.”

Demikian luahan seorang rakan kepada mangsa tragedi kemalangan maut di Kilometer 34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin, awal pagi tadi.

Rakan mangsa yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Ammar Al Harraz Mahathir, 24, berkata, dua mangsa yang maut iaitu Ameer Ashraf Khairul Annuar dan Adli Hakim Akberdin, masing-masing berusia 24 tahun, dikenali sebagai individu yang baik serta mudah disenangi ramai.

Menurutnya, dia mula mengenali Ameer sejak tahun 2023 ketika berada di kampus, manakala Adli pula merupakan rakannya sejak menuntut di Islamic International College (IIC), Taman Batu Muda.

“Ameer memang jenis yang suka ajak kawan keluar makan atau lepak walaupun secara spontan. Mereka juga aktif dengan kumpulan rakan-rakan yang minat kereta dan selalu bergerak bersama.

“Kadang-kadang mereka naik ke Genting atau berjalan bersama, tetapi bukanlah terlalu kerap,” katanya ketika ditemui media di Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang hari ini.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Ameer adalah semalam selepas tamat kelas kira-kira pukul 1 petang.

Katanya, kedua-dua rakannya itu agak pendiam pada awal perkenalan, namun sangat mudah mesra selepas mengenali mereka dengan lebih rapat.

“Awal-awal memang nampak pendiam, tetapi bila dah kenal mereka sangat supportive dan ringan tulang,” katanya.

Menurutnya, pemergian dua rakannya itu amat mengejutkan kerana mereka baru sahaja berhubung seperti biasa sebelum kejadian.

“Saya doakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan salam takziah kepada keluarga mereka,” ujarnya.

Difahamkan, seorang lagi mangsa yang maut ialah sepupu kepada Ameer iaitu Afiq Jamal Abdul Nasir, 26, manakala Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Urusan pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Asar dengan Adli Hakim dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, manakala jenazah Ameer dan Afiq dihantar ke di Tanah Perkuburan Country Homes, Rawang.

Tinjauan di Unit Forensik Hospital Selayang kira-kira pukul 10 pagi mendapati ahli keluarga masih menunggu proses bedah siasat selesai selain menguruskan tuntutan jenazah.

Suasana pilu turut menyelubungi pekarangan unit berkenaan apabila beberapa ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik tiba, manakala rakan-rakan mangsa hadir memberi sokongan moral.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di KM34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN