PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan perasaan kecewa apabila pesanan makanan bernilai hampir RM150 yang telah dibayar tidak sampai ke tangannya kerana tidak dihantar oleh seorang penghantar makanan.
Menerusi satu perkongsian di laman Threads, wanita tersebut merayu bantuan orang ramai untuk menularkan perkara itu bagi mengesan ‘rider’ terlibat.
Katanya, dia telah membuat tempahan seperti biasa dan membuat bayaran secara atas talian, namun makanan yang dinanti tidak kunjung tiba.
“Hi semua, boleh tolong repost sampai rider (penghantar makanan) ni dapat hubungi saya? Saya pesan makanan sampai RM150, tapi dia tak hantar. Makanan dah bayar. Saya mesej tapi tak berbalas,” katanya.
Tambahnya, situasi itu menimbulkan rasa risau dan kecewa kerana jumlah pesanan yang agak besar serta tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak penghantar berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati orang ramai turut meluahkan simpati dan menggesa agar wanita itu membuat aduan rasmi kepada pihak syarikat penghantaran bagi tindakan lanjut.
“Saya pun pernah terkena macam ni. Lepas ini kalau ‘order’ guna COD sajalah. Duit selamat, makanan pun sampai taklah kita baran sakit hati dengan rider jenis begini,” kata NoorFittri.
“Pernah kena begini, saya pesan sate dia tak hantar langsung sedangkan dah bayar. Saya laporkan terus dapat bayaran semula,” kata Dhuha.
“Kalau ya pun terdesak janganlah ambil hak makanan orang lain. Semua itu jadi darah daging,” kata Cupi. – KOSMO! ONLINE














