PETALING JAYA – Selangor FC menarik nafas lega apabila rekod 14 perlawanan tanpa kalah sejak dibimbing Kim Pan-gon berjaya dikekalkan selepas seri 1-1 ketika bertemu Kuching City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah dilihat berjaya mendominasi awal saingan dengan The Cats terpaksa mengharapkan serangan balas pantas.
Tuan rumah berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-20 menerusi ledakan Ahmad Zikri Khalili tetapi dibatalkan pengadil selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Tuah memihak kepada pasukan pelawat selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Safuwan Baharudin melakukan terjahan ke atas Ronald Ngah Wanja sebelum penyerang utama Kuching City itu menyempurnakan amanah yang diberikan pada minit ke-41.

Bersambung pada babak kedua, Selangor menggandakan usaha untuk memburu gol penyamaan dan hanya berjaya meraih gol pada penghujung saingan menerusi penyudah Chrigor Moraes dengan keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut memastikan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang 50-50 untuk ke pentas final Piala Malaysia musim ini apabila bertandang di Kuching pada aksi kedua, 18 April depan.
Selangor FC dilihat terdesak untuk melunaskan ‘Misi 34’ selepas kali terakhir bergelar juara Piala Malaysia pada edisi 2015. – KOSMO! ONLINE














