LANGKAH untuk menghantar skuad muda menyertai Piala ASEAN 2026 dilihat sebagai keputusan tepat untuk membina pemain yang lebih matang bagi meneruskan legasi Harimau Malaya selepas ini.
Walaupun sudah tidak layak ke Piala Asia 2027, pelan segera harus dilaksanakan bagi menyiapkan pasukan memandangkan ada beberapa tonggak utama Harimau Malaya ketika ini semakin dimamah usia untuk membawa cabaran negara bagi melayakan diri pada edisi 2031.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, biarpun kekecewaan sedang menghantui bola sepak negara ketika ini, pelan jangka panjang harus dimulakan daripada sekarang.
“Bagi saya wajar (untuk mempertaruhkan skuad muda ke Piala ASEAN 2026). Apa yang kita bincangkan, kita mahu pasukan kita bersiap sedia untuk empat tahun lagi dan ini adalah permulaan pertama.
“Lagi muda anda (pemain) main di peringkat antarabangsa, lagi luas anda punya pengalaman dan dapat bantu prestasi. Boleh dikatakan ini adalah gerakan pertama yang bagus,” katanya.
Rentetan hukuman penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan dan jadual pertandingan di luar kalendar FIFA, peluang pemain tempatan termasuk bintang muda untuk mewakili negara makin terbuka luas.
Pada edisi kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos. Harimau Malaya dijadualkan memulakan saingan menentang Myanmar, 25 Julai ini.














