SEGAMAT – Salah seorang cucu kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru – Seremban di sini petang semalam tidak menyangka kemalangan itu berlaku sangat dekat dari rumahnya.
Menurut R. Suganti, 22, datuknya, K. Myakrishnan, 71, dan neneknya S. Sevendai, 65, serta datuk saudaranya S. Palamiandy, 77, menaiki van berkenaan bersama dua lagi saudaranya, P. Hariharam, 22, dan P. Sugunya, 18, sewaktu kejadian.
“Mereka berada di persimpangan jalan hendak masuk ke taman perumahan iaitu dalam lima minit saja mereka boleh sampai. Tetapi malangnya tidak kesampaian kerana telah di hentam oleh treler itu dari belakang kena langgar. Bukan itu sahaja, dari depan pun kena langgar. Tiga orang ahli keluarga saya sudah meninggal dunia datuk, nenek dan datuk saudara saya sekaligus.
“Saya betul-betul tidak sangka hanya kira-kira 200 meter sahaja lagi mereka mahu sampai ke rumah mereka terlibat dalam kemalangan ini,”katanya ketika di temui di Taman Golden Hills, Gemas Baru, di sini hari ini.
Tambah Suganti, salah seorang sepupunya, P. Sugunya, dalam keadaan kritikal di mana hanya 10 peratus sahaja harapan untuk sembuh manakala P. Hariharam mengalami kecederaan patah kaki dan menjalani pembedahan.
Kira-kira 200 orang terdiri daripada saudara-mara dan sahabat handai mendiang serta kenalan memberikan penghormatan terakhir sebelum mayat mereka dibawa ke pusat pembakaran di Bahau, Negeri Sembilan petang tadi.
Mayat mendiang Palamiandy telah dibawa ke kediamannya di Palong, Negeri Sembilan dan dijangka di bakar esok.-KOSMO! ONLINE














