fbpx
Kuching City kini menduduki tangga ketiga Liga Super selepas mengutip 40 mata.

Kemenangan Kuching City ke atas Penang kekal – MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengekalkan kemenangan kontroversi Kuching City ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super pada 15 Mac lalu meskipun dibantah oleh pasukan lawan kerana menurunkan pemain yang tiada dalam senarai pada hari perlawanan.

Namun, MFL selaku badan induk tetap mengenakan denda RM30,000 dan amaran keras terhadap Kuching City FC atas kecuaian kelab itu dalam memastikan ketepatan maklumat ‘Team List’ pada sebelum perlawanan.

Sebagai rekod, insiden itu membabitkan pemain Kuching City, Scott Philip Woods yang tiada dalam senarai skuad itu, tetapi diturunkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan.

Hukuman yang dikenakan terhadap Kuching City itu diputuskan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL dalam mesyuarat khas, hari ini.

BOD turut membuat keputusan menjatuhkan hukuman gantung daripada menjalankan tugas selama 12 bulan terhadap Komisioner Perlawanan (MC) dengan enam bulan terakhir akan melalui fasa pemulihan.

Koordinator Perlawanan (GC) pula digantung daripada menjalankan tugas selama enam bulan dan bagi tindakan susulan ke atas Pegawai Keempat (P4) perlawanan itu adalah tertakluk kepada keputusan FAM.

“Hasil siasatan mendapati bahawa berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan ‘Team List’ oleh MC bagi perlawanan itu di mana Woods tidak ditandakan dalam ‘Team List’ walaupun sudah didaftarkan dalam ‘Selection List’ sebagai pemain simpanan oleh Kuching City FC.

“Menerusi laporan yang diterima, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga mendapati MC, GC dan P4 gagal menjalankan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pemain di dalam bilik persalinan pemain mengikut SOP yang ditetapkan.

“Selain itu, pertukaran pemain pada minit 90+6 dibenarkan oleh GC dan P4 tanpa semakan menyeluruh terhadap ‘Team List’, sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi dalam ‘Team List’ diturunkan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan terdapat kegagalan pematuhan terhadap Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) Liga Malaysia 2025–2026 di mana MC melakukan kesilapan dalam penyediaan Team List, GC dan P4 gagal melaksanakan semakan yang sewajarnya sebelum dan semasa perlawanan manakala pihak kelab juga tidak meneliti ‘Team List’ secara menyeluruh sebelum mengesahkan dokumen rasmi itu,” kata MFL dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, kes pelanggaran OTP yang sama berlaku membabitkan Kelantan FC menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Perdana pada 27 Ogos 2021 yang mana pasukan tuan rumah Kelantan FC menurunkan pemain yang tidak sepatutnya berada di atas padang dengan membuat pertukaran pemain melebihi tiga kali peluang yang sudah ditetapkan semasa perlawanan.

Keputusan kemenangan 2-1 Kelantan FC dikekalkan namun kelab itu dikenakan denda RM30,000 manakala MC dan GC digantung perlawanan selama enam bulan dengan P4 pula dikenakan tindakan oleh FAM.

Satu lagi insiden dalam saingan Piala MFL di antara Penang FC II dan Terengganu FC II pada 5 Oktober 2024 yang mana pada minit- 70, pemain yang tiada dalam ‘Team List’ dibawa masuk oleh Penang FC II.

Bagaimanapun keputusan perlawanan itu kekal 2-2 namun MC dan GC digantung perlawanan selama enam bulan manakala P4 pula dikenakan tindakan oleh FAM.

Selain itu, MFL turut menegaskan bahawa semua pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan setiap prosedur pertandingan dipatuhi, khususnya dalam aspek teknikal seperti penyediaan dan pengesahan ‘Team List’.

“Sebarang kecuaian yang boleh menjejaskan integriti pertandingan tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan standard profesional Liga Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN