TELUK INTAN – Sebanyak 450 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam dari sebuah premis di sini yang dijadikan stor.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan pada pukul 11 pagi.
Beliau berkata, operasi tersebut yang dilaksanakan di bawah Ops Tiris menyasarkan sebuah premis kediaman di sini yang disyaki dijadikan stor simpanan haram bagi barang kawalan minyak masak peket.
“Operasi tersebut telah dilaksanakan hasil daripada risikan dan pemantauan selama seminggu untuk membanteras aktiviti penyelewengan di sekitar daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, sejumlah 450kg minyak masak peket 1kg pelbagai jenama telah ditemui di premis tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 36 tahun yang mengaku sebagai penyewa premis kediaman itu memaklumkan bahawa minyak masak peket itu adalah untuk dijual semula kepada pelanggan di kawasan sekitar.
Beliau berkata, ia termasuklah penghuni-penghuni rumah kongsi di kawasan pembinaan.
Katanya, warga asing tersebut didapati gagal untuk mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki dan berurusan dengan barang kawalan minyak masak peket yang ditemui di premisnya.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 450kg minyak masak peket 1kg, sebuah kenderaan 4×4, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dokumen-dokumen berkaitan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM55,125,” ujar beliau.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak masak peket tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan. – KOSMO! ONLINE














