KUALA LUMPUR – Pelaksanaan aplikasi Mobile Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sejak Mei tahun lalu terbukti membantu mengekang ketirisan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg), sekali gus memastikan bekalan di pasaran lebih stabil.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, keberkesanan sistem itu diukur menerusi dua indikator utama iaitu bekalan minyak masak yang sentiasa tersedia di pasaran serta pengurangan aduan daripada pengguna.
“Sehingga 3 Julai lalu, seramai 5.261 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan aplikasi Mobile eCOSS dengan purata pembelian minyak masak peket bersubsidi mencecah 18 juta paket setiap bulan.
“Ini menunjukkan sistem tersebut berkesan dalam mengawal penjualan minyak masak bersubsidi dan menghalang warga asing daripada mendapatkan bekalan berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung keberkesanan eCOSS serta langkah membantu warga emas dan penduduk luar bandar yang kurang mahir menggunakan teknologi.
Fuziah berkata, di Johor yang menjadi negeri projek rintis eCOSS, seramai 580,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu manakala 1,093 daripada 2,822 peruncit berdaftar menggunakan Mobile eCOSS.
Katanya, pelaksanaan sistem itu turut menyaksikan aduan berkaitan ketiadaan bekalan minyak masak peket di Johor menurun daripada sembilan kes pada Jun 2025 kepada hanya dua kes bagi tempoh sama tahun ini.
Mengulas kebimbangan terhadap warga emas dan pengguna yang tidak memiliki telefon pintar, beliau berkata kementerian menyediakan bantuan di premis peruncit, menjalankan program penerangan, menyediakan video panduan selain mengekalkan kaedah pembelian secara manual.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mobile eCOSS melengkapkan sistem eCOSS sedia ada dengan membolehkan rantaian bekalan minyak masak bersubsidi dijejaki dari kilang penapis sehingga kepada pengguna akhir.
Katanya, walaupun pelaksanaan aplikasi itu berasingan daripada operasi penguatkuasaan, data hasil pemantauan dan aduan pengguna akan terus digunakan bagi menilai keberkesanan sistem dalam membendung ketirisan minyak masak bersubsidi. – KOSMO! ONLINE














