PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan tiada kompromi terhadap kes pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa, selain komited memperkasa keadilan buat mangsa dan waris melalui pendekatan tambahan termasuk konsep diyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, pihaknya sedang menggerakkan usaha menjadikan diyat sebagai instrumen keadilan Syariah bagi membantu keluarga mangsa, tanpa menjejaskan pelaksanaan undang-undang sivil sedia ada.
“Tiada kompromi soal nyawa. JPM (Hal Ehwal Agama) komited untuk menjadikan diyat sebagai instrumen keadilan Syariah bagi membantu mangsa dan waris,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, semalam. – KOSMO! ONLINE














