IPOH – Cabaran dunia pendidikan masa kini menuntut guru memainkan peranan lebih besar berbanding sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah.
Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2026, Abdul Rasid Bakar, 64, berkata, pendekatan mendidik generasi hari ini bukan sahaja memerlukan kesabaran tinggi malah menuntut guru untuk memahami emosi dan jiwa murid.
“Cabaran sekarang berbeza dengan zaman 80 atau 90-an. Cabaran guru sekarang perlu banyak bersabar kerana sebagai pendidik, kita tidak boleh hanya sekadar mengajar. Kkita perlu menyentuh hati murid kerana sentuhan itu boleh membuka minda dan kesanggupan pelajar untuk belajar,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, di sini hari ini.
Mengulas mengenai anugerah yang diterimanya, pesara guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka itu berkata, sepanjang kerjaya selama 34 tahun, beliau tidak meletakkan harapan terhadap sebarang bentuk anugerah, sebaliknya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mendidik pelajar di dalam bilik darjah. – KOSMO! ONLINE














