fbpx
Anthony

Cadang pinda akta pemandu mabuk bayar ganti rugi kepada keluarga mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan untuk melakukan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mewajibkan pemandu mabuk membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah tersebut.

“Menurut Seksyen 44 APJ 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda sehingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.

“Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat menanti iaitu penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda RM100,000 hingga RM150,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada kenyataan sama, Kementerian Pengangkutan turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terlibat dalam nahas tragis di Klang selepas dirempuh pemandu mabuk dan positif dadah.

Katanya, kehilangan mangsa begitu menyayat hati kerana bukan sahaja meragut nyawa tidak berdosa, malah merupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.

“MOT memandang serius kejadian ini dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Anthony menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Kita berharap mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN