PETALING JAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Watie Hanifiah kini menjadi bualan orang ramai apabila dilabelkan sebagai ibu bapa tiri terbaik selepas mempamerkan keikhlasan menjaga anak pasangan masing-masing dengan penuh kasih sayang.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @thhe0dora_, dia menyatakan pengiktirafan terbuka kepada kedua-dua personaliti berkenaan.
“Bapa tiri terbaik tahun ini adalah Syed Saddiq dan Ibu tiri terbaik tahun ini adalah Watie Hanifah,” selorohnya.
Rata-rata pengguna bersetuju dengan kenyataan tersebut berikutan ketulusan dalam memberikan kasih sayang yang tidak terhingga kepada anak tiri mereka ini.
Pengguna di Threads iaitu Hjsahlankatering berkata, dia sempat melihat sendiri keakraban Watie bersama anak perempuan suaminya, Thalita ketika terserempak dengan keluarga itu di sebuah acara.
“Semalam saya ada jumpa Watie dan keluarga Shuib. Watie layan Thalita sangat baik. Pergi tandas sama-sama, nak makan pun Watie cedokan untuk Thalita, walaupun dia sedang sarat hamil.
“Kita yang tengok ini pun terharu,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut memuji komitmen Syed Saddiq terhadap anak-anak tunangnya iaitu Bella Astillah berikutan menyediakan hantaran berbentuk wang simpanan untuk masa depan mereka terjamin.
“Memang layak digelar bapa tiri contoh. Cara dia jaga anak bella pun sangat baik dan nampak ikhlas dan sangat penyayang,” puji pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














