KOTA TINGGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan gandingan dua beranak dari Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza kali ini.
Mantan ADUN Sedili, Rasman Ithnain calon PN membuat ‘comeback’ bertanding kerusi DUN Sedili dan berdepan mantan ADUN Sedili penggal lalu calon Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi.
Sementara Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon, Amirul Husni Onn menjadikan pertembungan tiga penjuru di DUN tersebut.
Pertembungan ‘buku bertemu ruas’ antara dua bekas wakil rakyat di DUN Sedili ini dijangka menjadi paling sengit dalam menentukan siapa yang lebih membekas di hati rakyat di kawasan tersebut.
Sementara itu, kehangatan politik keluarga diteruskan di DUN Panti apabila anak kepada Rasman, iaitu Alias Rasman, turut dipertaruhkan oleh PN sebagai calon di kawasan berkenaan.
Tampil sebagai muka baharu, Alias bakal berdepan cabaran untuk menembusi kubu lawan itu apabila menentang calon heavyweight daripada BN yang menampilkan seorang profesional perubatan, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali.
Turut bersaing dalam perlawanan tiga penjuru itu adalah calon PH, Ahmad Daniel Sharudin.- KOSMO! ONLINE














