fbpx
KONFLIK di Asia Barat menyebabkan harga minyak mengalami kenaikan.

Untung kita masih boleh ketawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sudah sebulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran berlangsung. Dari jangkaan hanya beberapa hari oleh AS pada awalnya, perang itu nampaknya akan berlarutan untuk satu jangka masa yang panjang. Semua yang bertelagah masih berkeras.

Media sosial juga dipenuhi dengan cerita perang ini. Berita dan analisis ditulis setiap hari oleh pelbagai pihak. Satu kelainan dalam perang AS-Iran ini ialah banyaknya gambar dan video yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI). Sukar dibezakan antara yang betul dan janaan AI.

Namun, tidak kira ke mana kecenderungan anda atau siapa yang anda sokong, perang ini sudah menunjukkan kesannya dan semua orang di seluruh pelosok dunia mula merasainya. Paling terasa ada kenaikan harga bahan api kerana kawasan yang terlibat adalah pengeksport utama minyak dunia.

Di banyak negara, bukan sahaja harganya melambung, malah bekalan juga terputus. Minyak mula dicatu. Kenderaan terpaksa beratur panjang berjam-jam.

Banyak juga stesen minyak terpaksa ditutup kerana tiada bekalan. Filipina, Thailand dan Australia antara yang dilaporkan terjejas teruk.

Untungnya, kita di Malaysia masih boleh ketawa. Majoriti rakyat masih membayar RM1.99 seliter untuk RON95 dan boleh dikatakan ‘tiada catuan’ walaupun had petrol bersubsidi diselaraskan kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini.

Semalam dan kelmarin, jalan raya sesak. Gabungan orang pulang dari kampung ke ibu negara dan juga yang keluar berhari raya dan menghadiri rumah terbuka punca kepada kesesakan itu. Tidak terasa langsung kesan perang. Begitulah bertuahnya kita.

Yang terkesan sedikit ketika ini ialah pengguna diesel. Harga terkini di Semenanjung ialah RM5.52 seliter sehingga 1 April ini. Ramai yang merungut kerana kenaikannya sangat banyak. Namun, setakat ini, kesan terhadap harga barang dan perkhidmatan belum terasa.

Namun, patutkah kita terus begitu? Kita terus berjenaka tentang subsidi dan meminta menteri berjimat terlebih dahulu. Siapa yang memainkan peranan membolehkan kapal-kapal tangki Malaysia melalui Selat Hormuz dengan selamat, pun kita jadikan isu politik.

Sedangkan, perang di Asia Barat ini belum nampak titik noktahnya. Malah, keadaan semakin meruncing. AS merancang melancarkan serangan darat, manakala kumpulan Houthi di Yemen mengancam untuk menutup satu lagi laluan utama kapal iaitu Bab el Mandep di Laut Merah.

Jika kedua-dua itu berlaku, harga minyak pasti ‘meroket’. Waktu itu mungkin kita hanya mampu ketawakan diri sendiri. Justeru, kita wajar bersedia daripada sekarang. Jangkakan yang buruk. Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi kemungkinan itu tetap ada.

Dalam keadaan krisis, orang yang tidak bersedia terutama dari segi kewangan akan paling teruk terjejas. Kerajaan pasti ada langkah yang disusun untuk mengurangkan beban rakyat tetapi kita juga perlu ada perancangan kita sendiri.

Namun, bersempena Syawal ini, teruskan amalan ziarah-menziarahi. Bagi yang berniat hendak buat rumah terbuka, jangan dibatalkan pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN