PUTRAJAYA- Kerajaan memutuskan penyelarasan had kelayakan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) kepada 200 liter berbanding 300 liter sebulan bermula 1 April ini sebagai langkah awal dan bersasar susulan konflik di Asia Barat.
Langkah proaktif itu digerakkan secara terancang bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, seterusnya memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh lebih panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.
Harga terkini RON95 kekal pada harga RM1.99 seliter seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan, semalam.
“Kita terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan, oleh itu kita meneliti apakah penggunaan Budi95 ini mencukupi (dan) kita dapati purata penggunaan adalah sekitar 100 liter.
“Maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan maka (langkah bersasar itu) tidak terjejas.
“Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelesaian kelayakan Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April,” katanya pada sidang akhbar khas, di sini hari ini.
Anwar berkata, had kelayakan Budi95 bagi pekerja gig terus dikekalkan pada 800 liter sebulan dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap pekerjaan mereka.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata, konflik berlarutan di Asia Barat telah memberi tekanan kepada pasaran tenaga global dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong.
Katanya, ia sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak yang mana subsidi untuk RON95 dan diesel bagi bulan Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion.
“Dengan keputusan mengekalkan harga Budi95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat.
“Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan.
“Kini, dengan harga minyak mentah mencecah AS$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














