SHAH ALAM – SHAH ALAM – Pemergian bekas bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abu Bakar Sairi, 72, dalam keadaan tersenyum menjadi detik paling menyentuh hati buat ahli keluarganya.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di sini selepas bertarung dengan kanser hati sejak tahun lalu.
Suasana pilu itu bagaimanapun diselubungi ketenangan apabila ahli keluarga berada di sisi, membimbing arwah mengucap kalimah Allah pada saat-saat akhir.
Anaknya, Azimah Abu Bakar, 41, berkata, saat-saat akhir bapanya berlaku dalam suasana cukup tenang apabila ahli keluarga berkumpul sambil membimbing arwah mengucap kalimah Allah.
Menurutnya, arwah sebelum ini didiagnosis kanser hati tahap dua sekitar Oktober lalu dan pernah menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan yang serasi.
“Namun, rawatan terpaksa dihentikan apabila arwah mengalami masalah darah termasuk platelet rendah selain komplikasi limpa membesar sehingga doktor tidak menggalakkan ia diteruskan.
“Keadaan itu menyebabkan kanser merebak ke tahap empat. Walaupun melalui ujian berat, arwah tidak menderita lama. Pagi tadi, dia hanya seperti sesak nafas seketika.
“Kami berada di sisinya, pimpin sebutan Allah… ketika itulah ayah mengukir senyuman sebelum menghembuskan nafas terakhir dengan begitu tenang, insya-Allah,” katanya di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Abu Bakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 pada kira-kira 10.45 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pukul 10 pagi.
Allahyarham meninggalkan isteri, Jannatun Muttakim dan lima orang anak serta tiga orang cucu.
Allahyarham berkhidmat sebagai bilal di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selama 27 tahun bermula 1987 hingga 2014 sebelum meneruskan khidmat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini. – KOSMO! ONLINE














