LUMUT – Mayat seorang lagi lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang terlibat kejadian bot karam di perairan Pulau Pangkor di sini berjaya ditemui nelayan tempatan malam ini.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Muhamad Shukri Khotob berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui pada pukul 7.40 malam tadi.
“Ia ditemui di kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian. Kapal PSC16 milik Pasukan Polis Marin (PPM) mengambil mayat itu dari vesel nelayan tempatan yang menemuinya.
“Mayat tersebut tiba di Jeti PPM Kg. Acheh di Sitiawan pada pukul 9.35 malam,” katanya di sini hari ini.
Penemuan tersebut menjadikan sebanyak tiga mayat berjaya ditemui pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) hari ini.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai sebuah bot disyaki membawa 37 orang PATI warga Indonesia tenggelam di kedudukan kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah seramai 23 orang iaitu 16 orang Lelaki dan tujuh orang perempuan.
Tujuh mangsa ditemui terapung pada hari kedua Op Carilamat, manakala tiga lagi berjaya dikesan hari ini. Empat lagi akan diteruskan operasi pencariannya esok. – KOSMO! ONLINE














