BOGOTA – Sebuah pesawat tentera Colombia membawa 125 askar dan kru terhempas awal pagi semalam, membunuh sekurang-kurangnya 66 orang dan mencederakan puluhan lagi mangsa.
Pesawat jenis C-130 Hercules itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Puerto Leguizamo, berhampiran sempadan selatan dengan Ecuador dan Peru, menghamburkan serpihan di lantai hutan.
Sumber tentera berkata, 58 askar meninggal dunia, bersama enam anggota tentera udara dan dua pegawai polis.
Jumlah kemas kini korban diumumkan sejurus selepas setiausaha kerajaan tempatan Carlos Claros memberitahu televisyen RCN bahawa 33 orang terkorban, manakala usaha sedang dijalankan untuk merawat dan memindahkan puluhan mangsa cedera.
Punca nahas masih disiasat.
“Ia adalah kejadian yang amat menyakitkan bagi negara. Semoga doa kami membawa sedikit ketenangan,” kata Menteri Pertahanan Pedro SanchezSanchez.
Jeneral Carlos Fernando Silva Rueda berkata, pesawat itu dalam perjalanan dari Puerto Leguizamo ke pos luar di rantau Amazon.
Nahas itu adalah kedua melibatkan C-130 Hercules dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 27 Februari lalu, pesawat kargo C-130 milik tentera Bolivia yang membawa wang kertas terhempas ketika mendarat, menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang maut. – AFP














