GUADALAJARA – Colombia mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Republik Congo 1-0 pada aksi kedua Kumpulan K di Stadium Guadalajara, sebentar tadi.
Keputusan ini menyaksikan Colombia masih mengekalkan rekod bersih dalam dua perlawanan dan kini memintas Portugal untuk mengetuai carta Kumpulan K dengan enam mata, berkelebihan dua mata berbanding Portugal.
Ini adalah kali keempat Colombia layak ke peringkat kalah mati selepas mara ke pusingan 16 pada edisi 1990 dan 2018 dan layak ke suku akhir pada penyertaan 2014.
The Tricolour berpeluang menamatkan saingan selaku juara kumpulan sekiranya tidak tewas pada perlawanan ketiga menentang pasukan pilihan, Portugal, Ahad ini.
Sementara itu, DR Congo kekal dengan satu mata dan perlu mendapatkan keputusan positif menentang Uzbekistan untuk terus menghidupkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya.
Terdahulu, Colombia memulakan perlawanan dengan garang apabila Daniel Munoz berjaya merobek gawang Republik Congo namun jaringan itu dibatalkan selepas pemain pertahanan itu dikesan offsaid.
Selepas kecewa kerana jaringan pertama dibatalkan, Munoz sekali lagi menyinar apabila berjaya meletakkan Colombia di depan pada minit ke-76. – AGENSI














