WASHINGTON – Pencerobohan Russia ke atas Ukraine mengakibatkan lebih dua juta korban ketenteraan, dengan angkatan tentera Moscow menanggung kerugian terbesar, demikian menurut kajian kumpulan pemikir Amerika Syarikat(AS) yang diterbitkan semalam.
“Jumlah korban gabungan Russia dan Ukraine melebihi 2 juta orang,” kata Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).
CSIS menganggarkan bahawa antara 400,000 dan 450,000 askar Russia terbunuh sejak Moscow menceroboh Ukraine pada Februari 2022, daripada sejumlah 1.4 juta korban. Perkataan korban digunakan CSIS merangkumi mereka yang maut, cedera dan hilang dalam kalangan tentera Russia.
Sementara itu, tentera Ukraine mengalami 525,000 hingga 625,000 korban dan antara 125,000 hingga 150,000 kematian dalam tempoh sama, kata CSIS.
“Kematian askar Russia di Ukraine adalah lebih empat kali ganda daripada korban anggota tentera Amerika Syarikat dalam semua perang AS yang digabungkan sejak Perang Dunia Kedua, manakala nisbah korban Russia kepada Ukraine pulang berkemungkinan meningkat kepada sekitar 8 berbanding 1 pada separuh pertama tahun ini,” tambahnya.














