SETIAP kali menyambut Aidilfitri pasti ada trend yang terpaksa dibuat video. Ada yang sedih dan ada yang terkinja-kinja.
Disebabkan terlalu banyak media sosial yang ada sekarang ini menyebabkan trend tersebut terpaksa diikuti, jika tidak buat, akan dikata pula tidak sporting (menyokong) jika ia melibatkan ‘kerja secara kumpulan’.
Itu dilema yang dihadapi bagi mereka yang bekerja di pejabat, malah guru-guru yang dihentam kiri dan kanan sebelum hari raya baru-baru ini apabila membuat video trend menari di sekolah.
Malah penyanyi tersohor negara juga dikritik kerana membuat video trend memberi duit raya yang dianggap tidak kena pada tempat.
Persoalannya sekarang, perlu ke kita menghasilkan video ‘aneh-aneh’ setiap kali menyambut hari istimewa pada setiap tahun.
Mana hilang cara kita orang Melayu mencium tangan dan bermaaf-maafan di pagi raya.
Mungkin video tersebut dibuat selepas acara wajib bersalaman dan dibuat hanya untuk suka-suka.
Bagi yang melihat video itu tetap tidak manis, memberi duit raya sambil membuat aksi tidak melihat muka penerima dan membuat pergerakan kaki mengikut lagu adalah tidak beradab walaupun untuk tujuan suka-suka.
Mungkin orang boleh mengata penulis tidak sporting, biarlah hendak kata apa sekali pun, budaya trend tersebut bukan dalam kamus hidup.
Tidak akan sesekali menjatuhkan martabat sebagai orang Islam dan juga wanita hanya semata-mata untuk mendapat jumlah tontonan yang tinggi dan dicaci melalui komen oleh orang ramai.
Di media sosial juga kecoh mengenai video raya guru-guru sekolah yang dianggap tidak manis bagi orang ramai yang menontonnya.
Mungkin guru-guru boleh bersikap selektif dalam memilih trend video raya selepas ini, jangan semberono memilih sehingga menjadi ruang untuk orang ramai mengata.
Kena selektif dari segi lagu dan juga pergerakan badan bagi guru-guru yang sudah berusia dan imej golongan tersebut yang disanjungi sebelum ini.
Tidak mahu komen lebih. Bagi penulis jika dipaksa di pejabat menari sebegitu, minta maaflah itu tidak akan dilakukan sama sekali.
Rasa malu itu masih tebal memandangkan usia pun bukannya muda lagi, jika masih muda pun rasanya trend itu tidak akan diikut. Maaf kerana tidak sporting. -KOSMO! ONLINE














