BINTULU – Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak dan remaja bermandi-manda di Air Terjun Sungai Plan Lot, Jalan Permata Kidurong di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemui lemas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa bersama dua rakan mereka iaitu seorang remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 13 tahun dan 14 tahun sedang mandi di kawasan air terjun sebelum kali terakhir dilihat pada pukul 2.30 petang.
Kedua-dua mangsa lelaki yang berusia 12 tahun dikenal pasti sebagai Tristan Mariss Marissa Erna dan Darren Daku Pasruscrum.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kindurong digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 3.22 petang.
Menurutnya, pasukan bomba telah menjalankan pencarian di kawasan sekitar sungai selain membuat selaman di lokasi terakhir mangsa dikhuatiri lemas.
“Mangsa pertama dijumpai sekitar pukul 5.20 petang, manakala seorang lagi mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 11.20 malam. Kedua-dua mangsa dijumpai jarak lima meter dari lokasi dikhuatiri lemas pada kedalaman sembilan meter.
“Mangsa kemudiannya dibawa naik ke tebing oleh penduduk dengan bantuan pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan bersama beberapa agensi ditamatkan pada pukul 12.33 malam. – KOSMO! ONLINE














