fbpx
ANTARA iklan yang dimuat naik sindiket scammer di laman Facebook.

Scammer guna wajah pegawai JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) Selangor mendedahkan wujud sindiket penipuan (scammer) menggunakan wajah pegawainya dalam mempromosikan lesen terbang di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatApps.

Pengarah JPJ Selangor, Naz­li Md. Taib berkata, tindakan tersebut dilakukan scammer bagi menyakinkan orang ramai bahawa permohonan lesen yang dilakukan mudah tanpa perlu melakukan sebarang latihan dan pengujian.

Katanya, berdasarkan semakan juga mendapati mereka menawarkan harga serendah RM200 bagi lesen memandu kelas B2 atau motosikal berkuasa bawah 250cc berbanding harga syiling ditetapkan JPJ sebanyak RM350.

“Wajah-wajah yang digunakan juga adalah terdiri daripada mereka yang berjawatan tinggi di JPJ Selangor yang seterusnya mendorong seseorang individu untuk terpedaya terhadap tawaran scammer itu.

“Gambar-gambar pula diambil dan diolah daripada gambar sedia ada di laman Facebook rasmi JPJ atau persendirian pegawai tersebut,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

IKLAN penipuan daripada sindiket scammer di Facebook.
NAZLI

Beliau menegaskan, perkara itu terbongkar apabila aduan disalurkan ke bahagian sistem pengurusan aduan dengan ramai masyarakat ingin mengetahui kesahihannya.

Nazli bagaimanapun me­ne­gaskan segala aduan terus dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sindiket hanya meminta gambar dan wang bayaran sebelum lesap begitu sahaja selepas transaksi pembayaran dilakukan kepada mereka.

“Mustahil dalam mana-mana dunia ini boleh mendapatkan lesen tanpa perlu pergi ujian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya mengesan dua lesen memandu mencurigakan yang berlaku dua tahun lalu selepas mendapati keadaan fizikal lesen tersebut yang berbeza daripada sebenar yang dikeluarkan pihaknya.

“Kumpulan yang menggunakan lesen memandu mencurigakan boleh didenda sehingga RM5,000 mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya disabitkan kesalahan selain kenderaan boleh disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta sama,” jelasnya.

 

Institut memandu banyak guna kenderaan ‘usang’

SHAH ALAM – Kenderaan dan motosikal ‘usang’ tanpa penyelenggaraan termasuk tidak mempunyai brek kecemasan adalah kesalahan dikesan dilakukan di 24 institut memandu (IM) yang terdapat di Selangor.

Situasi itu seterusnya bukan sahaja menjejaskan kualiti pemanduan ketika latihan malah boleh mendedahkan bahaya kepada calon-calon lesen memandu.

Perkara itu didedahkan Pe­ngarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md. Taib apabila rekod mendapati kesalahan teknikal itu mencatatkan jumlah kesalahan yang tertinggi bagi tempoh dua tahun bermula 2019 berbanding kesalahan lain iaitu 62 kes tempoh dua tahun bermula 2019.

Menurut beliau, kesalahan teknikal itu juga merangkumi tiada cermin pandang belakang pengajar, lampu brek kenderaan tidak menyala dan menggunakan tayar ‘haus’.

“Secara pecahannya didapati 38 kes pada 2019 dan 24 kes bagi 2020 yang keseluruhanya me­rangkumi 60.78 peratus daripada 102 kesalahan dikesan sepanjang Ops OKIM.

“Ini pastinya tidak baik bagi latihan dilakukan oleh calon-calon lesen memandu yang amat berharap mendapat perkhidmatan terbaik selepas membayar yuran kelas pemanduan di IM,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

PENGUAT kuasa JPJ mengeluarkan notis kepada pengajar yang melanggar prosedur ditetapkan Jawatankuasa Pelesenan IM. – GAMBAR HIASAN

Kata beliau, terdapat juga tenaga pengajar mengambil jalan mudah dengan mengajar lebih calon dalam memenuhi jumlah kehadiran pelajar IM ketika itu.

Ujarnya, situasi ini terbukti apabila 13 kes direkodkan dan perkara itu adalah salah susulan peraturan menetapkan seorang pengajar bagi seorang calon.

“Ada juga membiarkan para calon memandu tanpa pengawasan apabila berehat dengan menikmati minuman kopi de­ngan mencatatkan sembilan kes.

“Jadi, kita tidak dapat melahirkan pemandu yang berhemah dan berkualiti di jalan raya nanti apabila semua masalah itu telah bermula dari IM lagi yang dipertanggungjawabkan dalam mendidik bakal pemandu,” katanya.

Selain itu, Nazli menjelaskan, terdapat juga tenaga pengajar membiarkan Sijil Pengajar IM (SPIM) mereka digunakan orang lain atau kata mudah menggunakan konsep ‘ali baba’ dengan mengesan empat kes.

“Setiap kesalahan itu boleh dikenakan kompaun RM300 dan boleh berdepan penarikan SPIM serta rating IM itu sendiri.

“Tujuan kita melakukan Ops OKIM ini bukan mencari ke­salahan atau menghukum tetapi membetulkan kesilapan dan prosedur yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pelesenan IM supaya dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN