PETALING JAYA – Pengerusi OE EduGroup, Datuk Wira Dr Calvin Khiu berjaya mencatat rekod kebangsaan bagi Program Keusahawanan dengan Penyertaan Terbesar bersempena majlis ulang tahun ke-30 Malaysia Book of Records (MBR) di sini baru-baru ini.
Program tersebut telah menghimpunkan pemegang rekod daripada pelbagai bidang di seluruh negara untuk diraikan pencapaian luar biasa masing-masing.
Menurut sijil yang dikeluarkan oleh MBR, Calvin berjaya menarik jumlah peserta tertinggi dalam program keusahawanan yang merangkumi penyertaan secara dalam talian dan fizikal, dengan jumlah kumulatif melebihi satu juta peserta.
Pencapaian ini sekali gus menjadi satu mercu tanda penting bagi pembangunan institusi keusahawanan praktikal pertama di Malaysia.
Menurut Calvin, ramai individu mempunyai keinginan untuk berjaya, namun sering berhenti kerana merasakan diri kekurangan daripada aspek latar belakang atau sumber.

“Sebenarnya, perbezaan tersebut terletak pada cara berfikir dan kesediaan untuk mencari jalan dan mereka perlu memiliki matlamat agar tidak mudah berputus asa di tengah jalan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut.
Beliau menceritakan tentang rahsia kejayaannya dalam bidang perniagaan ini sehingga membagunkan empayar bisnesnya.
Calvin memulakan langkah awalnya dalam industri langsir sehingga berjaya mencipta jenama sehingga kini.
Beliau terus memberi tumpuan terhadap pengoperasian perniagaannya dengan menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran selain bercadang mahu beralih arah kepada bidang hartanah dan jualan langsung.
Namun usahawan ini terus nekad meneruskan perjuangannya dalam industri tersebut.
Selain itu, seiring dengan kestabilan perniagaan sehingga kini, beliau mula mengembangkan fokus bisnes ke arah bidang pendidikan kerana menyedari bahawa semakin ramai individu ingin menjadi usahawan.
Tetapi mereka masih kekurangan pembelajaran sistematik dalam aspek seperti model perniagaan, budaya organisasi serta kemahiran pembentangan.
Menyentuh mengenai dugaan dalam bidang keusahawanan, Calvin menekankan bahawa kunci utama untuk kekal tenang dalam bidang tersebut adalah dengan menggunakan ilmu yang ada untuk mencari penyelesaian.
“Cabaran pasti akan datang, tetapi selepas kegelapan pasti ada cahaya. Selagi kita terus melangkah, kita akan menemui jalan penyelesaian.”
Ditanya tentang pelan perancangan masa depan, Calvin mahu membangunkan ekosistem keusahawanannya yang bermula dari Malaysia dan berkembang ke peringkat ASEAN.
“Dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, saya bukan sahaja mahu membangunkan perniagaan teras ini, tetapi mahu membina satu ekosistem keusahawanan yang bermula dari Malaysia dan berkembang ke seluruh ASEAN,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE














