SETIAP kali menjejakkan kaki ke hospital tidak kira sama ada untuk mendapatkan rawatan atau menziarah sesiapa, mata Suzie (bukan nama sebenar) akan meliar melihat sekitar kawasan.
Bukan kerana bimbang akan bertemu dengan sesiapa yang tidak diinginkan, tetapi kerana ingin memastikan setiap kawasan bebas daripada kehadiran ‘tetamu tidak diundang’.
Disebabkan perasaan itu juga Suzie sebolehnya mengelakkan menziarah sesiapa di hospital pada waktu malam kerana takut peristiwa yang pernah dialaminya berulang kembali.
“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi berdepan dengan kejadian sama dan tidak mahu untuk berada di hospital terlalu lama sama ada mendapat rawatan atau melawat sesiapa.
“Sebaiknya cukuplah sekali itu sahaja dan tidak ada lagi perkara sama berulang di masa akan datang,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Berkongsi cerita tentang kejadian yang berlaku sekitar lima tahun lalu, Suzie telah dimasukkan ke sebuah hospital di Lembah Klang kerana mengalami keracunan makanan.
Bagaimanapun setelah diperiksa, doktor meminta agar Suzie dimasukkan ke wad untuk mendapat rawatan lanjut kerana disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.
Pada hari pertama di wad, Suzie lebih banyak tidur kerana keadaannya terlalu lemah. Doktor juga menyarankan agar Suzie tidak berpuasa biarpun ketika itu baru memasuki minggu kedua Ramadan.
Awalnya semua berada dalam keadaan baik sehingga satu kejadian misteri berlaku pada hari ketiga dia berada di wad berkenaan.
“Setelah selesai makan malam dan ubat, saya terus tidur sehingga tiba-tiba terjaga sekitar pukul 3 pagi. Waktu itu saya ditemani oleh kakak yang tidur di sofa tetamu berdekatan dengan katil saya.
“Disebabkan terjaga secara tiba-tiba, saya hanya memerhatikan keadaan sekeliling yang dirasakan seperti ada ‘aura’ tidak menyenangkan sehinggakan membuat saya berasa tidak selesa,” ujarnya.
Kemudian mata Suzie tiba-tiba melihat ke arah langsir yang menabiri sekitar katil setelah menyedari seperti ada bayang-bayang orang di belakangnya.
Suzie hanya mendiamkan diri dan bersedia untuk menjerit sekiranya individu berkenaan muncul di depan kerana menyangkakan kemungkinan itu perompak atau individu berniat jahat.
Namun, telahannya meleset apabila tiba-tiba bayang-bayang orang di sebalik langsir itu hilang begitu saja.
“Saya terkejut dan mula melihat dari kiri dan kanan langsir itu kerana boleh hilang sekelip mata tanpa jejak. Lagipun bayang-bayang itu datang dari arah pintu bilik dan menuju ke katil.
“Disebabkan cemas, saya ingin kejutkan kakak yang sedang tidur tetapi tiba-tiba terdengar ada yang memanggil nama saya dari bahagian atas langsir,” ceritanya.
Kemudian alangkah terkejutnya apabila Suzie mendapati ada makhluk menyerupai kanak-kanak sedang melihat tepat ke arahnya dari atas langsir itu.
Disebabkan yakin apa yang dilihat itu bukan manusia, Suzie terus menarik selimut dan menutup seluruh badannya serta membaca ayat al-Quran untuk menenangkan diri sehingga tertidur.
Pada keesokannya, Suzie meminta agar dibenarkan untuk pulang ke rumah dan permintaannya itu dipersetujui oleh doktor.
Namun, sebelum pulang Suzie sempat bertanyakan tentang kejadian misterinya itu kepada salah seorang jururawat yang merawatnya.
“Katanya perkara itu sudah dianggap biasa oleh kakitangan hospital yang sering berhadapan dengan banyak kejadian misteri terutama pada waktu tengah malam.
“Biarpun pada bulan Ramadan, kejadian seperti itu tetap berlaku, namun hanya melibatkan individu tertentu sahaja,” katanya.
Tidak faham dengan maksud individu tertentu, Suzie bagaimanapun enggan bercerita panjang dengan jururawat itu dan terus mengemas barang peribadi untuk pulang ke rumah.
Sejak itu, setiap kali melewati hospital membuatkan Suzie akan teringat dan dihantui insiden ‘kanak-kanak misteri’ yang muncul secara tiba-tiba di atas langsir wad.














