fbpx
KAPAL berkuasa elektrik ini mampu memuatkan 2,100 penumpang dan 225 kenderaan pada satu-satu masa.

Feri elektrik terbesar dunia mula diuji di lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJARAH perkapalan dunia telah membuktikan pelbagai kenderaan laut dicipta hasil inovasi. Ia berevolusi daripada kapal layar berkuasa angin kepada kapal wap berasaskan arang batu, seterusnya kapal enjin diesel berkapasiti tinggi.

Kini, industri itu memasuki era baharu selepas pengangkutan marin mula menggunakan kuasa elektrik serta teknologi rendah karbon yang lebih lestari.

Ujian laut bagi feri elektrik terbesar dunia secara rasminya telah bermula di Hobart, Tasmania, Australia baru-baru ini, sekali gus menandakan detik penting dalam evolusi teknologi perkapalan moden.

Feri dengan nama dagang China Zorrilla (Hull 096) itu merupakan projek terbaharu Incat Tasmania. Pengangkutan laut itu juga digelar sebagai feri elektrik terbesar pernah dibina setakat ini.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Dan Hal Ehwal Korporat Incat Tasmania, Tom Cooper, ujian yang dijalankan di perairan River Derwent berhampiran limbungan pembinaan kapal itu menjadi fasa penting, sebelum dihantar kepada pengendalinya di Amerika Selatan.

“China Zorrilla dibangunkan untuk syarikat feri di Uruguay, Buquebus yang merancang mengoperasikan kapal ini di laluan merentasi Río de la Plata, menghubungkan Buenos Aires, Argentina dengan Montevideo, Uruguay.

“Río de la Plata terkenal sebagai salah satu laluan feri tersibuk di rantau tersebut.

“Dengan panjang sekitar 130 meter, feri dengan reka bentuk katamaran aluminium berkelajuan tinggi ini mampu membawa sehingga 2,100 penumpang dan kira-kira 225 kenderaan dalam setiap pelayaran,” katanya dalam satu artikel dalam portal ABC.

CHINA ZORRILLA bakal mengubah landskap industri perkapalan dunia pada masa depan.

Tambahnya, kapasiti luar biasa itu menjadikan China Zorrilla bukan sahaja feri elektrik terbesar di dunia, malah antara kenderaan elektrik paling besar pernah dibina dalam sejarah pengangkutan.

Keunikan utama China Zorrilla terletak pada sistem tenaga baterinya yang berskala mega.

Kapal itu dilengkapi lebih 5,000 modul bateri litium-ion dengan kapasiti keseluruhan sekitar 40 megawatt-jam (MWh).

Jumlah tersebut jauh mengatasi sistem bateri kapal elektrik yang pernah dibangunkan sebelum ini, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam industri maritim.

Kongsi Cooper lagi, tenaga yang disimpan dalam bateri tersebut akan menggerakkan lapan unit waterjet elektrik berprestasi tinggi bagi membolehkan kapal beroperasi tanpa penggunaan bahan api fosil sepanjang pelayaran normal.

Katanya, langkah itu memberi impak besar terhadap usaha pengurangan pelepasan karbon ke udara dalam sektor pengangkutan laut.

“Industri perkapalan global selama ini bergantung kepada bahan api berat yang menyumbang kepada pencemaran udara dan pelepasan gas rumah hijau.

“Dengan pengoperasian sepenuhnya menggunakan elektrik, kapal ini mampu mencapai sifar pelepasan karbon semasa pelayaran.

“Selain itu, ia mampu mengurangkan pencemaran bunyi dan getaran yang biasanya dihasilkan oleh enjin diesel konvensional. Ini meningkatkan keselesaan penumpang dan kru kapal,” ujarnya.

PARA pekerja Incat Tasmania yang terlibat dalam pembinaan China Zorrilla.

Fasa ujian laut di Hobart memberi tumpuan kepada beberapa komponen kritikal. Antaranya adalah pengujian sistem propulsi elektrik di bawah laut, penilaian kecekapan penggunaan tenaga pada pelbagai tahap kelajuan serta pengesahan kestabilan kapal ketika melakukan manuver.

Selain itu, sistem kawalan, navigasi dan keselamatan turut diuji secara menyeluruh bagi memastikan semua fungsi beroperasi seperti direka.

Ujar Cooper, kejayaan feri itu bergerak menggunakan kuasa bateri dalam ujian awal telah membuktikan bahawa teknologi berkenaan telah mencapai tahap kematangan komersial.

Dari segi operasi, kapal itu direka khusus untuk perjalanan jarak sederhana sekitar 60 hingga 90 minit bagi setiap hala.

Selepas tiba di pelabuhan, sistem pengecasan berkuasa tinggi akan membekalkan semula tenaga kepada bateri kapal dalam tempoh kurang satu jam.

“Tempoh cas ini membolehkan jadual perjalanan feri lebih kerap tanpa gangguan besar, sesuai dengan laluan sibuk digunakan oleh syarikat Buquebus.

“Kejayaan integrasi antara kapal dan infrastruktur pengecasan darat menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan operasi jangka panjang,” katanya.

Reka bentuk katamaran aluminium ringan yang menjadi kepakaran Incat Tasmania turut memainkan peranan besar dalam menjayakan projek tersebut.

Cooper menjelaskan, struktur aluminium bukan sahaja mengurangkan berat keseluruhan kapal, malah meningkatkan kecekapan tenaga kerana kurang rintangan ketika bergerak di atas air.

Pendekatan itu juga membolehkan sistem bateri besar digunakan secara optimum tanpa menjejaskan prestasi kelajuan dan kestabilan.

Gabungan kejuruteraan ringan dan sistem tenaga elektrik berkapasiti tinggi mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap inovasi maritim.

Dari sudut pengalaman penumpang, China Zorrilla turut menawarkan pelbagai kemudahan moden seperti ruang komersial dan kawasan beli-belah bebas cukai yang besar.

“Reka bentuk dalaman yang kontemporari menunjukkan bahawa peralihan kepada tenaga bersih tidak mengorbankan aspek keselesaan atau nilai komersial.

“Malah, ia membuktikan bahawa kelestarian dan pengalaman premium boleh bergerak seiring dalam industri pengangkutan laut,” kongsi Cooper.

Secara dasarnya, ujian berkenaan mencerminkan perubahan paradigma dalam sektor maritim global.

Ketika banyak negara memperkenalkan dasar pengurangan karbon dan sasaran neutraliti iklim, kejayaan China Zorrilla menjadi bukti bahawa kapal berskala besar boleh beroperasi sepenuhnya dengan menggunakan elektrik.

Jika projek tersebut mencapai kejayaan komersial seperti yang dirancang, ia berpotensi menjadi model rujukan kepada pengeluar kapal dan operator feri di seluruh dunia.

“Ujian laut China Zorrilla di Hobart bukan sekadar pencapaian teknikal bagi kami, malah simbol transformasi besar dalam sejarah perkapalan dunia.

“Dengan kapasiti besar, sistem bateri terbesar pernah dipasang pada kapal dan komitmen terhadap operasi sifar emisi, feri ini membuka lembaran baru bagi masa depan pengangkutan laut lebih bersih, cekap serta lestari,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN