fbpx
Lih Kang berucap pada Majlis Peluncuran Program MSN 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di Semenyih, Selangor hari ini.

MOSTI sasar 1.15 juta penyertaan Minggu Sains Negara 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMENYIH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penyertaan seramai 1.15 juta rakyat Malaysia bagi Program Minggu Sains Negara (MSN) 2026 melibatkan penglibatan secara fizikal dan dalam talian di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, sasaran itu bukan sekadar indikator prestasi (KPI), sebaliknya mencerminkan komitmen kementerian dalam memperluas pendedahan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat.

Menurut beliau, penganjuran MSN sebelum ini mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan lebih satu juta penyertaan, sekali gus memberi keyakinan bahawa sasaran baharu itu mampu dicapai menerusi kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Program ini merangkumi pelajar sekolah, golongan belia serta masyarakat setempat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program MSN 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di sini hari ini.

Lih Kang berkata, MSN turut menjadi platform penting untuk MOSTI mendekati komuniti luar bandar melalui pelbagai inisiatif seperti Karnival Sains, Kembara Sains Borneo, Rehlah Sains dan STEM Camp.

Ujar beliau, usaha itu memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemodenan serta dapat bersama-sama mempelajari ilmu sains.

Kata beliau, bagi edisi 2026, MSN akan dilaksanakan menerusi tiga fasa utama iaitu peluncuran ‘Road to MSN 2026’, penganjuran Karnival Sains di lima zon strategik meliputi Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak, serta acara kemuncak di Zon Tengah pada November bersempena sambutan Hari Sains Sedunia.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, MSN 2026 memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran secara ‘hands-on’ yang diperkaya dengan aktiviti penerokaan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Beliau turut menegaskan kepentingan pendekatan multidisiplin dalam pendidikan bagi memastikan inovasi dapat diarusperdanakan merentasi pelbagai bidang pengajian.

“Sinergi antara sektor awam, swasta dan akademik adalah kunci untuk memperkukuh ekosistem inovasi negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pelajar agar merebut peluang sepanjang penganjuran MSN 2026 untuk meneroka potensi dalam bidang STEM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN