SEMENYIH – Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mengubah secara signifikan cara manusia bekerja, berkomunikasi dan membuat keputusan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, platform seperti Claude dan ChatGPT serta pelbagai model AI generatif lain kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentasi hampir semua sektor ekonomi.
Menurutnya, AI bukan sahaja membantu dalam penulisan, analisis data dan reka bentuk, malah turut memacu automasi tugasan harian yang sebelum ini memerlukan tenaga manusia.
“Namun penting untuk difahami AI tidak menggantikan manusia secara mutlak. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat yang memperkukuh keupayaan manusia,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Minggu Sains Negara 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di sini hari ini.
Lih Kang seterusnya menegaskan bahawa nilai sebenar masih terletak pada kreativiti, pertimbangan etika, empati serta keupayaan membuat keputusan kompleks yang tidak mampu digantikan oleh mesin.
Dalam masa sama, kata beliau, penggunaan AI tetap memerlukan peranan manusia untuk melatih, membimbing serta menentukan hala tuju teknologi tersebut agar selari dengan nilai dan keperluan masyarakat.
Tambah beliau, masa depan tidak lagi ditentukan oleh persaingan antara manusia dan AI, sebaliknya antara mereka yang mahir menggunakan teknologi itu dan yang sebaliknya.
“Individu dan organisasi yang mampu memanfaatkan AI akan menjadi peneraju ekonomi baharu, mencipta model perniagaan inovatif serta membuka peluang pekerjaan berkualiti,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa cabaran utama kini bukan untuk menolak AI, tetapi memastikan rakyat bersedia, berkemahiran dan mampu memanfaatkan teknologi berkenaan demi membina masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing. – KOSMO! ONLINE














