DOHA – Sebuah hab tenaga utama di Qatar mengalami kerosakan teruk akibat serangan peluru berpandu semalam ketika Iran menyasarkan negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan Israel terhadap medan gas Pars miliknya, lapor akhbar Arab News.
Dron juga menyasarkan kemudahan gas di Arab Saudi, manakala Emiriyah Arab Bersatu (UAE) diserang petang semalam selepas Iran memberi amaran bahawa ia akan menyerang negara-negara jirannya.
Kementerian Luar Qatar mengarahkan tentera dan atase keselamatan Iran bersama kakitangan mereka untuk meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Bandar Perindustrian Ras Laffan.
QatarEnergy berkata, kerosakan teruk dialami ekoran serangan peluru berpandu itu, sejurus selepas kementerian dalam negeri melaporkan kebakaran yang terhasil daripada serangan Iran ke kawasan tersebut.
“Pasukan tindak balas kecemasan dikerahkan segera untuk membendung kebakaran yang terhasil,” kata pengeksport gas asli cecari (LNG) kedua terbesar dunia itu dalam satu kenyataan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua kakitangan telah dikenal pasti, katanya.
Qatar mengutuk serangan itu dengan mengatakan bahawa ia merupakan ancaman langsung kepada keselamatan negaranya.
Ras Laffan yang terletak 80 kilometer di utara Doha, merupakan hab industri tenaga dan menempatkan beberapa syarikat antarabangsa. – AGENSI














