PETALING JAYA – Fenomena ‘slot infak’ yang semakin meluas di bazar Ramadan dan gerai jualan tepi jalan kini mencetuskan polemik apabila niat asalnya sebagai medium kebajikan mula dipersoalkan orang ramai.
Konsep tersebut pada asasnya memberi peluang kepada pelanggan membeli makanan tambahan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan seperti gelandangan, asnaf dan pekerja berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, perkembangan mutakhir menunjukkan amalan yang semakin popular itu, kini ditawarkan secara konsisten setiap hari sehingga menimbulkan tanda tanya tentang keikhlasan di sebaliknya.
Tinjauan mendapati ramai pengguna mempersoalkan sama ada ‘slot infak’ benar-benar berlandaskan niat membantu atau sekadar strategi untuk menghabiskan lebihan makanan.
Fenomena ini bukan sesuatu yang terpencil, malah setiap tahun, bazar Ramadan di seluruh negara merekodkan jumlah pengunjung yang tinggi dengan perbelanjaan mencecah ratusan juta ringgit.
Menurut laporan sebelum ini, sektor bazar Ramadan di Malaysia dianggarkan menjana nilai ekonomi yang besar, dengan ribuan peniaga mengambil peluang berniaga secara bermusim.
Situasi itu menyebabkan peniaga perlu mencari pelbagai kaedah untuk memastikan jualan mereka tidak mengalami kerugian, terutama apabila makanan tidak habis dijual.
Di sinilah ‘slot infak’ dilihat sebagai satu mekanisme yang dianggap sebagai kaedah membantu orang lain sambil mengurangkan risiko pembaziran makanan.
Bagi Neng Istiqomah Daim, 41, amalan tersebut bagaimanapun tidak seharusnya dijadikan alat pemasaran yang terselindung semata-mata untuk melariskan jualan.
“Bila setiap petang buka ‘slot infak’, ia nampak seperti satu rutin untuk habiskan baki jualan dan bukan lagi inisiatif kebajikan yang lahir daripada keikhlasan.
“Kalau benar mahu membantu, peniaga sendiri boleh salurkan makanan itu tanpa perlu menunggu pembeli ‘menaja’.
“Apabila ia dijadikan sebahagian daripada strategi jualan, nilai sedekah itu seolah-olah hilang dan bertukar menjadi transaksi biasa,” katanya.
Sopiah Adlin Ismail, 29, pula berpendapat bahawa pendekatan itu seperti memindahkan tanggungjawab kepada pelanggan.
“Pembeli datang untuk beli makanan, tetapi dalam masa sama ‘digalakkan’ untuk berinfak melalui pembelian tambahan. Ia seolah-olah meletakkan beban kepada pengguna untuk menyempurnakan niat kebajikan peniaga.
“Lebih membimbangkan, ada yang menggunakan ayat-ayat berkaitan pahala bagi menarik simpati, sedangkan tujuan sebenar mungkin untuk mengelakkan kerugian,” katanya.
Azim Ahmad, 41, pula melihat trend itu sebagai sesuatu yang berpotensi mengelirukan pengguna jika tidak dilaksanakan secara telus.
“Konsep infak itu sendiri tidak salah, malah sangat digalakkan. Namun apabila ia digunakan hampir setiap hari dengan cara yang sama, orang ramai mula tertanya-tanya sama ada ia benar-benar untuk membantu atau sekadar pendekatan pemasaran.
“Ketelusan penting, contohnya ke mana makanan itu disalurkan dan siapa penerimanya, supaya tidak timbul persepsi negatif,” katanya.
Selain itu, ada juga netizen menyifatkan tindakan tersebut boleh mencairkan nilai sebenar sedekah apabila dikaitkan dengan keuntungan perniagaan, malah ada yang menyifatkannya sebagai ‘menunggang’ sentimen Ramadan semata-mata untuk melariskan jualan.
Bagaimanapun, segelintir pengguna mempertahankan konsep berkenaan dengan alasan ia masih memberi manfaat kepada golongan memerlukan, walaupun dilaksanakan melalui pembelian pelanggan.
Apa pun, polemik ‘slot infak’ ini memperlihatkan keperluan kepada ketelusan dan keikhlasan agar amalan kebajikan tidak disalah tafsir sebagai strategi mengaut keuntungan semata-mata.
















