fbpx
Zulkifli (kanan) pada sidang akhbar Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto oleh M FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

Dividen Tabung Haji 3.5 peratus, tertinggi dalam 8 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata agihan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.22 bilion, yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.

Beliau berkata, agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit, kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sebanyak RM49.0 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, keputusan tahun 2025 merupakan prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

“Alhamdulillah, Tabung Haji terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya.

“Kedudukan kunci kira-kira yang semakin mantap mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, tadbir urus yang lebih cekap serta portfolio pelaburan yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam suasana global yang semakin tidak menentu, TH kekal fokus melindungi simpanan pendeposit sambil memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan.

“Ini bagi menyokong hala tuju ke arah mencapai istito’ah, serta menggalakan persiapan dan disiplin kewangan untuk menunaikan ibadah haji,” ujarnya.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 10.00 pagi, esok melalui platform THiJARI, di kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat.

Selain itu pendeposit boleh menyemak melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN