JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pengedar menjadikan sebuah kereta Perodua Alza sebagai stor simpanan dadah berjumlah RM1.01 juta untuk pasaran bandar raya ini terbongkar apabila seorang ahli sindiketnya ditahan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar bandar raya ini pada pukul 7.40 malam.
“Serbuan dijalankan di sebuah rumah teres di Taman Mount Austin, di sini. Anggota juga mendapati sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru diparkir di kawasan kediaman tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 21 bungkusan disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 20.23 kilogram bernilai RM1.01 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di IPK Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, modus operandi digunakan pengedar adalah menjadikan kenderaan tersebut sebagai stor penyimpanan dadah sebelum digunakan untuk menjual dadah kepada penagih dan juga pengunjung pusat hiburan.
“Pemilik kenderaan merupakan seorang lelaki beralamat di Sungai Petani, Kedah sebelum dijual kepada pihak lain. Kenderaan itu kemudiannya disalahgunakan suspek untuk mengedar dadah. Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak Disember lalu. Jika dadah tersebut dibiarkan di pasaran, ia boleh digunakan seramai 101,140 penagih,” katanya.
Beliau memberitahu, suspek kini direman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan individu terbabit mempunyai tujuh kesalahan lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian urin negatif. – KOSMO! ONLINE














