KABUL – Afghanistan menuduh Pakistan menyerang sebuah hospital untuk merawat penagih dadah di Kabul lewat semalam, dengan serangan udara itu membunuh sekurang-kurangnya 400 orang, lapor saluran berita CNN.
Ia menandakan peningkatan dramatik konflik bermula akhir bulan lalu, yang menyaksikan pertempuran rentas sempadan berulang serta serangan udara di dalam Afghanistan.
Seruan masyarakat antarabangsa untuk gencatan senjata juga tidak diendahkan.
Timbalan jurucakap kerajaan Afghanistan, Hamdullah Fitrat dalam hantaran di laman X berkata, serangan Pakistan berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) dan memusnahkan sebahagian besar hospital dilengkapi 2,000 katil itu.
“Angka kematian setakat ini (semalam) mencecah 400 orang, manakala kira-kira 250 mangsa cedera,” katanya.
Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman pasukan keselamatan menggunakan lampu suluh semasa membawa keluar mangsa, sementara anggota bomba berusaha memadamkan api di celah-celah runtuhan bangunan.
Jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengutuk serangan itu dan menuduh Pakistan ‘menyasarkan hospital serta kemudahan awam untuk melakukan kekejaman.’
Kementerian Penerangan Pakistan bagaimanapun berkata, serangan Islamabad ‘secara tepat menyasarkan kemudahan tentera dan infrastruktur sokongan pengganas termasuk peralatan teknikal serta peluru Taliban Afghanistan’ dan pemberontak Pakistan yang berpangkalan di Kabul serta Nangarhar. – AGENSI














