PETALING JAYA – Malaysia mencatatkan kadar tertinggi di rantau Asia-Pasifik bagi pekerja yang meletakkan jawatan akibat persekitaran kerja toksik, berdasarkan satu tinjauan pada 2024.
Menerusi perkongsian Seaasia pada Instagram yang memetik laporan Randstad Workmonitor 2025 dikeluarkan pada 25 Mac 2025, sebanyak 59 peratus pekerja di Malaysia sama ada meninggalkan pekerjaan mereka atau sanggup berbuat demikian disebabkan tempat kerja toksik.
“Angka ini merupakan kadar tertinggi yang direkodkan di seluruh rantau Asia-Pasifik.
“Tinjauan tersebut dijalankan antara 7 Oktober hingga 6 November 2024 dengan kerjasama firma penyelidikan global Evalueserve, melibatkan 503 pekerja di Malaysia daripada keseluruhan 34 pasaran di seluruh dunia,” menurut perkongsian berkenaan.
Randstad, agensi bakat terbesar di dunia mendapati, budaya tempat kerja memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pekerja memilih untuk kekal atau meninggalkan pekerjaan mereka.
Dalam masa sama, hampir separuh daripada responden di Malaysia (48 peratus) menyatakan mereka akan terus menolak tawaran kerja daripada syarikat yang dikenali mempunyai budaya kerja buruk.
“Penolakan ini paling ketara dalam kalangan pekerja Gen Z (59 peratus) dan Gen X (50 peratus).
“Sementara itu, 61 peratus rakyat Malaysia berkata, mereka akan meninggalkan pekerjaan sekiranya merasakan tiada rasa kebersamaan atau rasa dimiliki di tempat kerja.
“Sebanyak 50 peratus pula menyatakan mereka akan mempertimbangkan untuk berhenti jika tidak serasi dengan pengurus atau majikan mereka,” katanya.
Menurut Randstad, dapatan kajian itu juga menunjukkan perubahan antara generasi.
“Sebanyak 33 peratus responden sanggup menerima gaji lebih rendah, asalkan mereka mempunyai rakan rapat di tempat kerja. Perkara ini paling ketara dalam kalangan Baby Boomers (44 peratus) dan Gen Z (37 peratus).
“Malah, 93 peratus responden menyatakan mereka bekerja dengan lebih baik apabila merasakan adanya komuniti atau semangat kebersamaan di tempat kerja,” katanya.
Dalam masa sama, Seasian turut memetik Pengarah Randstad Malaysia, Fahad Naeem yang menyatakan faktor membezakan sesebuah tempat kerja bukan sekadar gaji atau imbuhan.
Katanya, ramai pekerja kekal di sesebuah syarikat kerana hubungan positif dengan ketua dan rakan sekerja, dan pengalaman kerja yang baik memainkan peranan penting dalam mengekalkan pekerja. – KOSMO! ONLINE














