JAKARTA – Harga daging lembu di sejumlah pasar di Indonesia meningkat kepada 150,000 rupiah (RM35) satu kilogram menjelang perayaan Aidilfitri, lapor portal berita Tribunnews hari ini.
Antara pasar yang mengalami kenaikan harga itu termasuk Pasar Lontar, Jakarta Utara.
Seorang peniaga di pasar berkenaan, Muhammad Fiki berkata, kenaikan harga itu berpunca daripada bekalan yang berkurangan, manakala permintaan daging lembu semakin meningkat.
“Dulu sekilogram 140,000 rupiah (RM33), sekarang 150,000 rupiah. Harga meningkat berpunca daripada bekalan yang semakin berkurang,” kata Muhammad Fiki.
Tambahnya, bilangan pembeli turut melonjak kerana kebanyakan penduduk mula berbelanja untuk persiapan Aidilfitri.
Harga daging dijangka mencecah 160,000 rupiah (RM38) sekilogram apabila permintaan terus meningkat menjelang raya, demikian menurut peniaga-peniaga lain. – AGENSI














