fbpx
Gambar hiasan.

Libat urus tadika swasta diadakan di dewan sekolah, bukan gereja – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya Sesi Libat Urus (SLU) bersama pemegang taruh tadika swasta Zon Utara diadakan di dalam gereja.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program tersebut sebenarnya berlangsung di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, iaitu sebuah institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian.

Menurut kenyataan itu, pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain mengetengahkan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan swasta di negara ini.

“Pada masa sama, ia juga membuktikan sinergi yang baik antara KPM dan pihak penyedia pendidikan swasta,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, KPM menyifatkan dakwaan yang mengatakan program tersebut diadakan di dalam gereja sebagai tidak berasas dan berniat jahat, selain cuba menimbulkan kekeliruan serta memburukkan imej kementerian.

Dalam kenyataan sama, KPM turut menyeru semua pihak supaya tidak menyebarkan fitnah, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah pada bulan Ramadan.

“KPM menyeru semua pihak untuk meningkatkan amal ibadah dan tidak terjebak dalam perbuatan fitnah,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN