KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi kerangka pembangunan industri penternakan babi secara menyeluruh bagi menangani isu pencemaran serta kebimbangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin berkata, pendekatan ladang tertutup merupakan kaedah moden yang semakin diguna pakai di banyak negara bagi meningkatkan kawalan penyakit serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.
“Negara moden seperti China dan juga beberapa negara Eropah seperti Denmark dan Sepanyol juga ada ladang babi. Penternakan babi diuruskan melalui ladang tertutup dengan kawalan alam sekitar yang lebih ketat,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail berhubung pencemaran yang disebabkan oleh ladang babi boleh menjejaskan golongan nelayan.
Foong Hin berkata, kerangka pembangunan industri penternakan tersebut akan mengambil kira keperluan teknikal, sensitiviti masyarakat setempat serta kepentingan ekonomi negara.
“Ini merupakan sesuatu yang sedang dijalankan oleh kementerian bagi memastikan industri penternakan berkembang secara lebih teratur dan lestari,” ujarnya.
Katanya, galakan beralih daripada ladang terbuka kepada ladang tertutup bukan hanya tertumpu kepada penternakan babi semata-mata.
Sebaliknya, ia turut melibatkan pelbagai jenis ternakan lain termasuk ayam, itik dan kambing bagi meningkatkan tahap biosekuriti serta mengawal pencemaran.
“Pendekatan ini bukan hanya untuk ladang babi, tetapi untuk semua jenis ternakan kerana ia merupakan cara yang lebih moden untuk mengawal penyakit serta mengurangkan pencemaran,” katanya.
Mengulas isu pencemaran, Chan berkata beliau sendiri telah meninjau sebuah kilang biogas berasaskan pencernaan najis dan air kumbahan daripada ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Pulau Pinang pada 14 Februari lalu.
Menurutnya, penggunaan teknologi biogas tersebut berjaya mengurangkan bau busuk yang sebelum ini sering menjadi aduan penduduk setempat.
“Selepas adanya biogas digester itu, bau busuk di Kampung Selamat banyak berkurang. Ini menunjukkan teknologi moden mampu menjadi penyelesaian kepada masalah pencemaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














