SYARIKAT Madani Group yang ditubuhkan pada awal 2009 merupakan sebuah syarikat teknologi maklumat yang bertapak di Ipoh, Perak. Aktiviti memancing telah dijadikan sebagai salah satu program tahunan buat pekerja syarikat ini untuk mengeratkan silaturahim antara mereka.
Program yang berlangsung seawal pukul lapan pagi itu menghimpunkan kakitangan dari pelbagai unit. Objektif utama penganjuran adalah untuk menghargai komitmen pekerja selain mewujudkan suasana santai di luar pejabat.
Menurut Pengarah Urusan Madani Group, Datuk Dr. Jasni Hashim, aktiviti seperti ini mampu mengukuhkan semangat berpasukan dan memberi ruang kepada pekerja untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai bersama pihak pengurusan.
“Selama ini kita banyak berurusan dalam suasana formal di pejabat. Jadi, melalui program seperti ini, kita dapat beramah mesra, berkongsi minat dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya.
Sepanjang trip tersebut, para peserta berpeluang merasai pengalaman memancing di kelong yang terkenal dengan spesies ikan seperti siakap putih, siakap merah, jenahak, senangin, sembilang, tamok dan lain-lain.
Ada yang menggunakan teknik pancing dasar dengan umpan udang hidup, manakala sebahagian lagi mencuba nasib dengan teknik pelampung menggunakan umpan roti bagi mencari ikan tamok iaitu spesies ikan belanak bersaiz kasar yang cukup terkenal di perairan Telaga Nenas ini.
Meriah
Jeritan kegembiraan jelas kedengaran apabila beberapa peserta berjaya menaikkan ikan pada awal pagi dan lebih mencuit hati, anak-anak kecil turut tidak melepaskan peluang cuba memancing, sekali gus mencipta kenangan manis buat mereka.

Selain aktiviti memancing, pihak syarikat turut menyediakan jamuan ringkas serta sesi cabutan bertuah bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Dr. Jasni dalam ucapannya berkata, beliau amat menghargai komitmen dan dedikasi semua pekerja.
“Syarikat ini berkembang hasil usaha bersama semua orang. Trip seperti ini adalah tanda penghargaan syarikat kepada semua yang telah bertungkus-lumus memastikan kelangsungan dan kejayaan syarikat,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar program sebegini dapat dijadikan acara tahunan kerana selain memberi peluang berehat, ia turut menjadi platform terbaik untuk membina hubungan lebih akrab antara pekerja dan pihak pengurusan.
Rata-rata peserta melahirkan rasa gembira dan berharap lebih banyak aktiviti santai seumpama sesi memancing seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap lagi pada masa hadapan.
Bagi mereka, kenangan memancing di kelong bukan sahaja tentang hasil tangkapan, tetapi nilai kebersamaan yang sukar dijual beli.
Sesi malam
Menjelang malam, suasana di atas kelong menjadi semakin meriah apabila ada peserta yang berjaya menaikkan ikan siakap merah yang bersaiz kasar menggunakan umpan udang hidup.

Suasana malam yang sunyi sering kali dikejutkan oleh bunyi jeritan kegembiraan apabila ada joran yang melentur direntap ganas oleh penghuni muara dan juga gelak ketawa apabila ada yang terlepas tangkapan disebabkan tali pancing putus atau ikan rabut dari mata kail.
Waktu malam yang semakin larut tidak terasa bagi semua peserta walaupun ada yang baru pertama kali mencuba hobi ‘hanyir’ ini.
Sesi pagi
Pagi berikutnya selepas bersarapan nasi lemak dan kopi panas, saya yang turut menyertai trip ini mengambil peluang untuk mencuba untuk memancing ikan tamok dengan pelampung menggunakan umpan roti.
Kebetulan masa itu air mati tidak berarus dan kelihatan kumpulan ikan tamok ada berlegar di sekitar kelong.
Selang beberapa minit kemudian, pelampung yang tadinya diam, terus tenggelam. Ikan dimainkan dengan berhati-hati kerana takut terlepas kerana mata kail yang halus, selepas itu seekor tamok sekilogram berjaya saya naikkan.
Semua peserta yang ada di atas kelong terus teruja dan ingin mencuba teknik yang sama dan hasil yang diperolehi selepas itu cukup memuaskan hati hingga membuatkan semua orang ingin datang lagi ke kelong ini semata-mata untuk memancing tamok.
Petang itu, peserta program pulang dengan wajah ceria, membawa bersama hasil tangkapan serta kenangan manis untuk dikenang.
Trip memancing anjuran Madani Group ini membuktikan bahawa aktiviti riadah seperti memancing mampu menjadi medium terbaik dalam memperkukuh ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam sese















