fbpx
Poster ucapan takziah pemergian Syed Muhammad Naquib daripada Mohamed Khaled.

‘Warisan pemikiran Syed Muhammad Naquib terus menyala sebagai pelita ilmu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Warisan pemikiran ilmuwan agung, Allahyarham Prof. Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib akan terus menyala sebagai pelita ilmu yang menerangi perjalanan bangsa dan penduduk di Malaysia.

Menyifatkan perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemergian Allahyarham meninggalkan kedukaan yang mendalam kepada rakyat Malaysia berikutan seluruh hayatnya diabdikan untuk memaknai ilmu.

“Kepulangan seorang sarjana seagung ini bukan sekadar kehilangan seorang tokoh akademik, tetapi hilangnya sebuah jiwa besar yang telah mengabdikan hidupnya untuk membina tradisi ilmu dan peradaban umat.
“Allahyarham bukan sekadar seorang profesor atau penulis yang prolifik, beliau adalah seorang pemikir yang membentuk cara kita memahami hubungan antara ilmu, adab dan tamadun.

“Sepanjang hayatnya, Allahyarham mengingatkan kita bahawa krisis sebenar umat bukan semata-mata kekurangan pengetahuan, tetapi kehilangan adab dalam memahami dan memanfaatkan ilmu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Allahyarham turut memberi sumbangan besar dalam konteks bangsa Melayu apabila berjaya mengangkat keyakinan bahawa peradaban Melayu adalah peradaban yang berakar pada Islam.

“Melalui karya-karya dan pemikirannya, Allahyarham mengajak kita meninjau kembali sejarah dan jati diri kita dengan pandangan yang lebih bermaruah dan berwibawa,” katanya.

Sebagai seorang mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled turut menghargai kepentingan pemikiran Allahyarham dalam membina falsafah pendidikan tinggi yang lebih berakar kepada nilai dan peradaban.

“Beliau telah membantu merangka konsep dan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menjadikannya institusi yang berteraskan ilmu, identiti dan nilai kebangsaan.

“Penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) oleh Allahyarham adalah antara legasi intelektual terbesar negara.

“Kini, ISTAC berdiri megah sebagai sebuah institusi yang menjadi medan pertemuan sarjana dari seluruh dunia dalam menghidupkan kembali tradisi keilmuan Islam yang mendalam dan berwibawa,” katanya.

Selain itu, Allahyarham juga memiliki ilmu heraldry, iaitu seni mereka bentuk jata dan lambang yang menggambarkan makna, maruah dan identiti sesuatu bangsa atau institusi.

Tambah Mohamed Khaled, Allahyarham juga merupakan antara tokoh yang mereka bentuk bendera UMNO, yang kemudian dikenali sebagai Sang Saka Bangsa.

“Tidak hairanlah beliau turut terlibat dalam mereka bentuk beberapa lambang penting negara, termasuk logo asal UKM.

“Ini menggambarkan keluasan bakat dan daya fikir beliau yang memahami bahawa simbol, bahasa dan makna adalah sebahagian daripada pembinaan tamadun,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah negara maju, rakyat juga perlu menghargai ilmuwan dan pemikir yang telah membina asas intelektual bangsa.

“Sesungguhnya, kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui cara kita memuliakan ilmu dan menghargai para sarjana yang telah mencurahkan hidup mereka untuk masyarakat.

“Dalam tradisi Islam pula, ilmu yang bermanfaat merupakan antara amal yang tidak akan terputus walaupun seseorang itu telah kembali kepada Penciptanya.

“Maka tidak diragukan bahawa karya, gagasan dan pemikiran Allahyarham akan terus hidup, menjadi sumber inspirasi dan panduan kepada generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI