JOHOR BAHRU – Tindakan segelintir pemimpin DAP yang cuba menyamakan parti itu dengan keseluruhan komuniti Cina di negara ini disifatkan sebagai satu bentuk hipokrasi dan politik sempit yang berbahaya.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sebarang kritikan atau keengganan untuk bekerjasama dengan DAP tidak sepatutnya dipolemikkan sebagai tindakan meminggirkan atau membenci masyarakat Cina.
Katanya, tindakan segelintir pihak yang cuba memutarbelitkan pendirian tegas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung landskap politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu cubaan terdesak untuk meraih simpati.
“Sejak bila DAP mewakili keseluruhan kaum Cina? DAP adalah sebuah parti politik. Kaum Cina adalah sebuah komuniti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pegangan politik, pekerjaan dan pemikiran. Mengkritik DAP bukan bermakna mengkritik kaum Cina. Tidak bekerjasama dengan DAP juga bukan bermakna menolak masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Abdul Halim berkata, keputusan untuk bekerjasama atau tidak dengan mana-mana parti adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi dan bukannya isu perkauman.
Malah katanya, DAP dan Pakatan Harapan (PH) juga pernah menolak kerjasama dengan parti lain atas dasar prinsip sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














