KOTA BHARU – Seramai 10 individu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes kematian doktor pelatih wanita di pintu bilik air asrama di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan pensyarah mangsa yang berusia 29 tahun.
Katanya, setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Kita sudah mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan. Polis perlu siasat secara terperinci untuk mengenal pasti punca yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kepada Golongan Asnaf di Lembah Sireh di sini hari ini.
Mohd. Yusoff meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian wanita tersebut.
Kosmo! Online pada Sabtu lalu melaporkan, seorang doktor pelatih ditemukan dalam keadaan tergantung pada pintu bilik air menggunakan sehelai kain selendang di asrama HSIP.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian doktor pelatih tersebut. – KOSMO! ONLINE














