KLUANG – Seorang lelaki maut, manakala dua anak tirinya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbalik sebelum terbakar dalam kemalangan melibatkan sebuah jentera berat di Jalan Kota Tinggi berhampiran Ladang Tabung Haji di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Juazman Miskon berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.37 tengah malam.
“Kemalangan melibatkan kereta Toyota Vios dan jentera berat jenis JCB. Akibat perlanggaran itu, kereta tersebut terbalik sebelum terbakar kira-kira 80 peratus. Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum kebakaran berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seroang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Mohd. Nor Salihin, 37, yang juga bapa tiri kepada dua kanak-kanak yang cedera dalam kejadian itu.
Kanak-kanak tersebut iaitu Nawwal Husna Mohd. Aizam, 7, dilaporkan patah kaki manakala kakaknya, Isyah Radiah, 10, mengalami pendarahan di bahagian kepala.-KOSMO! ONLINE














