PETALING JAYA – Seorang penumpang wanita meluahkan rasa tidak selesa dan berang apabila seorang pemandu e-hailing yang ditempahnya telah menyalahgunakan maklumat peribadinya untuk cuba berkenalan dengannya.
Menerusi hantaran tular di Threads oleh @Nhzmysff, mangsa mendedahkan pemandu e-hailing terbabit telah menghubunginya secara terus melalui WhatsApp sebaik sahaja tempahan diterima.
Katanya, tindakan itu telah melanggar privasi dan data pengguna kerana pemandu itu mempunyai akses terus kepada nombor telefonnya tanpa menggunakan fungsi proksi (proxy) atau perlindungan privasi.
“Jujur cakap, benda ni tak lawak pun. Ini isu privasi dan keselamatan.
“Kita guna e-hailing sebab rasa selamat, tapi kalau driver (pemandu) boleh ambil nombor customer (pengguna) dan WhatsApp personal nak berkenalan, memang tak selesa,” katanya.
Mangsa turut meluahkan rasa lega apabila pemandu itu membatalkan tempahan lebih awal secara tiba-tiba.
Pendedahan itu mendapat reaksi orang ramai yang turut menyarankan agar memilih platform e-hailing yang mempunyai rekod keselamatan serta perlindungan privasi yang lebih ketat.
“Kalau aku personally (secara peribadi) aku lebih suka naik Grab kerana lebih selamat,” kata @Germpunyer. – KOSMO! ONLINE














