NILAI – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill menyifatkan penganjuran Piala Dunia Trek UCI 2026 sebagai detik bersejarah yang mengangkat kembali Malaysia sebagai pentas utama berbasikal trek dunia.
Kejohanan berprestij yang menghimpunkan lebih 40 negara itu berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi utama penganjuran acara berbasikal trek bertaraf dunia.
Lebih membanggakan, kejohanan tersebut dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang berkenan mencemar duli ke Velodrom Nasional, Nilai, petang tadi bersama Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol serta Amarjit sendiri.
Amarjit berkata, edisi kali ini bukan sekadar pertandingan, malah turut mengangkat Malaysia kembali sebagai pentas utama berbasikal trek dunia selepas 25 tahun.
“Hujung minggu ini, Malaysia menjadi pentas utama berbasikal trek dunia apabila kita mengalu-alukan kehadiran atlet terbaik dunia, termasuk pemenang Olimpik, juara dunia serta bintang baharu yang akan bersaing pada tahap tertinggi dari segi kelajuan, ketepatan dan ketahanan.
“Dan kejohanan ini bukan sekadar mengenai persaingan, tetapi turut mencerminkan perpaduan, kecemerlangan serta semangat persahabatan antarabangsa menerusi sukan,” katanya.
Antara pelumba yang mencuri tumpuan ialah juara Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda, selain Nicholas Paul, Sébastien Vigier, Luca Spiegel dan Daniel Staniszewski.
Cabaran negara pula digalas jaguh trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang dijangka menjadi sandaran utama memburu kejayaan di laman sendiri.
Dalam pada itu, Mordi berkata penganjuran kejohanan tersebut bukan sekadar acara sukan, malah membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah bertaraf dunia.
Menurutnya, kejohanan itu turut memperkukuh kedudukan negara sebagai antara destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa.
“Kejohanan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja mengangkat legasi berbasikal trek negara, malah menunjukkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE














