NILAI – Impian skuad pecut lelaki negara untuk mara lebih jauh pada aksi Piala Dunia Trek UCI 2026 tidak kesampaian apabila terkandas seawal pusingan kelayakan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini.
Trio negara yang dibarisi Adib Andhar Andan, Akmal Nazimi Jusena dan Fadhil Zonis itu mencatat masa 45.704 saat untuk menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan yang mengambil bahagian.
Catatan masa itu menyaksikan Malaysia gagal mara ke pusingan pertama apabila hanya lapan pasukan terbaik sesi kelayakan itu meneruskan cabaran untuk memburu tiket ke pentas final.
Ketiadaan tonggak utama, Ridwan Sahrom yang mengalami kecederaan sewaktu Pusingan 2 di Hong Kong memaksa perubahan saat akhir dilakukan dalam barisan pasukan.
Penyertaan Adib yang hanya dimaklumkan tiga hari sebelum perlumbaan jelas memberi cabaran besar dari segi persiapan fizikal dan keserasian pasukan.
“Persiapan memang tidak sempurna, secara fizikal saya belum bersedia sepenuhnya tetapi dari segi mental saya beri segalanya hingga selepas perlumbaan saya tidak mampu berdiri,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.
Dalam masa sama, tekanan beraksi di pentas besar tetap dirasai namun pelumba berusia 21 tahun itu menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses mematangkan dirinya.
“Kita perlu ada tekanan kerana tanpa tekanan bermakna kita tidak peduli, jadi saya akui sedikit gementar tetapi tetap cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Kegagalan ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa skuad pecut lelaki negara masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki menjelang cabaran lebih besar seperti Sukan Asia 2026. -KOSMO! ONLINE














